Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Universiti Putra Malaysia (PSSCPUHUPM) adalah merupakan sebuah persatuan pelajar yang berdaftar dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UPM, yang menjadi jentera penggerak dalam menyampai dan mengembangkan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi di Universiti Putra Malaysia.
Diatas daya usaha saudara Mohd Nizam bin Zamre dan rakan-rakan, beserta dengan sekumpulan Alumni UPM, penyampaian ilmu Seni Silat Cekak yang diasaskan dan diperjuangkan oleh Almarhum Ustaz Haji Hanafi Haji Ahmad, kini digerakkan melalui Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi UPM yang bernaung di bawah Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia, yang juga lebih dikenali dengan nama Silat Cekak Pusaka Hanafi.
Silat Cekak Pusaka Hanafi ialah seni silat bela diri yang benar-benar asli yang berasal dari Negeri Kedah, serta mempunyai kaedah-kaedah yang tetap dengan buah-buah pukulan dan kunci-kunci tangkapan yang cukup lengkap dan kemas. Seni gerakan didalam silat ini adalah berasaskan gerak geri semula jadi manusia yang berpandukan kepada akal fikiran yang waras, jiwa yang tenang, dan selari dengan prinsip-prinsip agama Islam.
Sistem pembelajarannya lebih menitik-beratkan kepada aspek mempertahankan diri agar pengamalnya lebih terlatih dengan sifat berani, dan bukannya dengan sifat yang ganas.
